Penelitian Cerpen Saroja Theavy a/p Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB
Oleh:
Dr Othman Puteh
BERDASARKAN pada nama, tidak mustahil Nagalingam yang menulis cerpen “Cerita Orang yang Tiada Menerima Syukur” (Bahtera, 17 Mei dan 24 Mei 1932) merupakan pengarang kaum India yang mencatat sejarah sebagai pengarang cerpen terawal dan kaum bukan Melayu ikut mengisi khazanah kesusasteraan Bahasa Malaysia.
Selain Joseph Selvam yang agak banyak menghasilkan puisi dalam dekad 1970-an dan aktif bersama Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA), amat sedikit atau hampir tiada pengarang/penyair dari kalangan kaum India yang benar-benar komited dalam arus perdana perkembangan cerpen Bahasa Malaysia.
Hanya pada hampir dua dekad terakhir pada abad yang lampau, baru tampil hadir beberapa nama cerpenis keturunan atau etnik kaum India dalam senanio pencerpenan di negara ini. Antara mereka itu, dan rata-ratanya pula hadir daripada dorongan luar melalui sayembara Hadiah Cerpen Maybank-DBP (kategori Bukan Melayu) yang bermula pada 6 November 1987 dan berakhir pada 1996.
Mereka ialah Kamalah a/p Suppiah, V. Sureh Kumar a/l S.V. Vijayathevan, Saroja Theavy a/p Balaknishnan, Rajendran a/l Rengasamy, M. Mahendran (Mahendran a/l Mathavarayan), Uthaya Sankar SB, Srivali a/p Seeridaram, Thilagavathi a/p Arumugam.
Surat Berita - Kavya - Newsletter Lebih banyak maklumat penulis kaum India Malaysia! |
Hampir
satu dekad sayembara ini berlangsung terdapat sebanyak 57 orang pengarang kaum
India yang ikut serta. Begitupun, dari jumlah tersebut cuma terdapat dua nama
cerpenis yang dapat bertahan mencipta ke akhir abad 20 dan lolos memasuki alaf
baru, menulis secara konsisten, yakin diri dan ikut memberi nama dan jalur dalam
senario pencerpenan tanah air. Dua orang cerpenis kaum India itu ialah Saroja
Theavy a/p Balakrishnan dan Uthaya Sankar SB.
Saroja Theavy a/p Balakrishnan yang mula menulis cerpen sejak tahun 1988, telah menghasilkan sejumlah 34 buah cerpen (15 cerpennya terhimpun dalam Gemerlapan (DBP: 1997) dan selebihnya tersiar dalam pelbagai media cetak seperti Dewan Sastera, Berita Harian, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Dewan Budaya, Dewan Masyarakat, Dewan Kosmik dan Menara 7.
Pernah memenangi Hadiah Utama dan Hadiah Penghargaan dalam sayembara Hadiah Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Utama dan Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank dan yang terpenting cerpennya “Kilau Kemilau Kandil Hijau” memenangi Hadiah Pertama (bersama dengan dua cerpenis lain iaitu Hizairi Othman dan Ani Mawar Abdullah) dalam Pertandingan Menulis Cerpen Formula Malaysia 1999/2000.
Pendidik
yang berkelulusan Sarjana Sastera dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti
Malaya, berasal dari Alor Setar, Kedah dan kini bertugas di Sekolah Menengah
Alam Megah, Shah Alam, Selangor.
Uthaya Sankar SB telah menghasilkan sejumlah 68 buah cerpen sejak mula menulis dan pernah mengikuti projek Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 1991. Bahagian besar karyanya terhimpun dalam Orang Dimensi (DBP: 1994) terdapat 16 cerpen remaja, Siru Kamban (DBP: 1996)16 cerpen, Yang Aneh-aneh (Sasbadi: 1997) 5 cerpen, Surat dan Madras (DBP: 1999 dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99 dalam Kategori Kumpulan Cerpen Remaja) 16 cerpen dan Sasterawan Pulau Cinta (2001) 10 cerpen.
Cerpen-cerpen Uthaya Sankar SB kerap mengisi wadah Dakwah, Karya, Pelita Bahasa, Dewan Siswa, Dewan Budaya, Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia. Pernah memenangi Hadiah Utama dan Hadiah Penghargaan dalam peraduan Cerpen Maybank-DBP, Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia.
Berkelulusan
dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan sempat meneruskan pengajian
Sarjana di UKM, anak kelahiran Aulong Lama, Taiping, Perak ini kini bertugas
sebagai penyunting berita tivi di RTM dan pensyarah di Kolej Muzik Antarabangsa
(ICOM).
Saroja Theavy a/p Balakrishnan
Meneliti
karya-karya cerpen Saroja Theavy dalam kumpulan Gemerlapan dan 18
cerpen ecerannya dalam pelbagai media cetak, terdapat beberapa kesan yang
menarik dan menjadi semacam kecenderungan @ jatidiri kepada pengarang ini.
Pertama, kecenderungan mengemukakan watak-watak kaum India yang inginkan survival bersama-sama dengan watak-watak warga Malaysia lain daripada etnik Melayu dan Cina sebagai suatu pengucapan realiti warga multi etnik yang boleh hidup bersama dengan aman, harmonis dan saling mengerti.
Justeru itu, watak Vadivoo sanggup bertindak jujur demi menjaga keharmonian hubungan dengan jiran yang amak dikenalinya (Mak Kiah) walaupun tindakannya itu menjejaskan keselamatan anaknya, Ramachandran yang membunuh Jakpat, anak jirannya, Mak Kiah.
Saroja
Theavy, melalui cerpennya “Putih Mata Putih Tulang” berusaha menegakkan
kebenaran dan keadilan walaupun harga yang dibayarnya amat tinggi. Hal ini
dilaksanakan bagi menghakis rasa bersalah dan tidak memikirkan kepentingan diri
yang terlalu peribadi serta boleh menghantui kehidupan.
Gambaran tentang perpaduan, perjuangan hidup yang dikaitkan dengan sosio-politik, terserlah pada cerpen “Kandasami”; seorang porter di stesen kereta api yang amat mencintai tanah air tempat ia membesar dan mencari rezeki. Adiknya dari Benua Kecil India menghantar surat tentang hidup terjamin bahagia dan aman serta meramalkan Tanah Melayu yang terdiri daripada warga multi etnik itu tidak akan hidup aman damai justeru warga berbilang budaya, ras, kepercayaan dan status ekonomi yang berbeza akan mencetuskan huru-hara begitu Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan.
Cabaran
inilah yang dihadapi Kandasami. Dia teringat kembali kepada Tuk Haji Meriam yang
banyak membantunya. Dia merasakan ada hubungan kejiranan yang utuh dan intim
antara mereka walaupun berlainan ras, agama dan budaya. Konflik dalam dirinya
yang diimbangi dengan pemikiran rasional, apatah lagi beliau sendiri adalah ahli
MIC yang ikut memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu, kemudiannya mengambil
keputusan tidak menaiki kapal Sri Laksmi untuk pulang ke India. Pengalamannya
selama 30 tahun di perantauan sudah cukup mendewasakan diri dan
pemikirannyauntuk menetap di negeri jantung ini.
Kehidupan
warga kota yang sering dilabelkan individualistik dan tercabar dipaparkan oleh
Saroja Theavy dengan jelas dan tegas lewat cerpennya “Cengkaman Norma”.
Semangat kejiranan dan hubungan etnik yang mulai pupus itu kiranya bercup dan
bercambah kembali begitu berlakunya insiden apabila Madam Wong, ibu tiri Mei
Ling ingin menjerumuskan gadis itu di lembah pelacuran untuk penakatan hidup
keluarga. Di sini, Syila bersama-sama Nasrida berusaha menyelamatkan teman
baiknya dengan bantuan pihak polis.
Pelacuran
dan perogolan merupakan jenayah terhadap wanita, dan Saroja Theavy memberikan
pemberatan pada persoalan ini dalam cerpennya di atas dan cerpen “Anggeris
Berkembang di Puncak Hati” serta hubung kaitnya dengan kehidupan, saling
bekerjasama, saling bantu-membantu ke arah kehidupan yang lebih praktis dan
harmoni. Demikian Norbaini yang dirogol oleh kumpulan lelaki Cina, bukan sekadar
mengalami fobia tetapi dendam yang berpanjangan dan ini menjejaskan status dan
prestasinya di tempat kerja. Begitupun kehadiran Chitra dan di lokasi baru dia
bertugas, Norbaini bertemu dengan Encik Low yang kemudiannya berupaya
meminggirhakiskan prasangka Norbiani dan yakin dengan kehidupan masa depan.
Jelas
Saroja Theavy banyak menyumbang kepada pemikiran hidup berbilang kaum dalam
kebanyakan cerpen yang dihasilkan. Ini memberikan suatu petanda tentang
keyakinan diri pengarang terhadap kehidupan harmonis di kalangan warga negara
ini sekiranya tidak mementingkan diri (termasuk ras, agama, budaya) Cuma dalam
melangsungkan kehidupan di bawah langit bumi Manusia yang dihuni penduduk
berwarna-warni.
Kedua, kecenderungan Saroja Theavy berbicara tentang alam sekitar dan ini menyerlah dalam cerpennya “Lambaian Malar Hijau” yang mempertembungkan dua peribadi iaitu Daneng yang menyintai alam sekitar dengan gurunya, Jo yang berpendapat alam sekitar tidak cukup dipantau dengan rasa cinta melulu dari aspek teori tetapi harus dipraktispantaukan dengan kuasa dan ilmu pengetahuan.
Persoalan
tentang alam sekitar, flora dan fauna ini menjadi agak dominan dalam karya-karya
cerpen Saroja Theavy seperti terdapat pada “Bukit Sekikih Mengaum”, “Dalam
Bayangan Pohon Ara” dan “Kilau Kemilau Kandil Hijau”, ikut memaparkan dua
watak protagonis Kandasamy—Dr Adnan yang memiliki cita rasa hampir sama dan
saling mencintai alam sekitar. Lebih daripada itu, Dr Adnan sendiri tertarik
dengan cara Kandasamy menanam herba tanpa menggunakan racun serangga.
Ketiga,
sejak akhir-akhir ini, Saroja Theavy cenderung memaparkan watak-watak bukan
insan dalam cerpen-cerpennya. Ini amat ketara seperti yang ditemukan lewat
cerpen “Di Sepenjuru Pantai Peru”, “Pengantin Hitam”, “Keinginan Kecil
di Celah Daun” dan “Di Celah-celah Cinta Lepidoptera”.
Cerpen
“Di Sepenjuru Pantai Peru” memaparkan watak-watak singa lautyang perlukan
perlindungan daripada kepupusan terpaksa berhadapan dengan kebuluran akibat
daripada bencana El Nino, kemarau yang mengancam kesurvivalan spesis yang langka
itu. Sementara cerpennya “Keinginan Kecil di Celah Daun” memperlihatkan
keprihatinan pengarang terhadap alam sekitar – flora dan fauna – dengan
persepsi yang tajam pada proses peneluran daripada seekor serangga yang melalui
kitaran sehingga menetas menjadi seekor rama-rama. Kitaran ini bermula daripada
sebiji telur halus berbentuk sfera berhadapan dengan multi ancaman seperti angin,
hujan, haiwan lain, insan dan sebarang spesis lain yang mengancam.
Trend mutakhir Saroja Theavy ini dengan cerpen-cerpen berwatak haiwan dapat ditafsirkan kepada pengucapan simbolik tentang protes dan atau keresahan dan kecenderungan jiwa pasangan yang hidupnya senantiasa jadi buruan.
Cerpennya “Pengantin Hitam” jelas memaparkan gagak jantan berhadapan dengan situasi yang tepu kegetiran akibat daripada gagak perawan diintai maut oleh senapang pemburu. Cerpen ini membawa mesej tentang kasih sayang yang berkaitan dengan sikap harus berkorban dan mengapa pula harus dikorban. Terserlah betapa keadilan ini harus dijadikan pertaruhan atau semacam mainan Cuma.
Di
samping itu, dapat ditelusuri betapa pengarang ini cuba memasuki jagat penulisan
cereka sains dengan membicarakan kehidupan serangga dan atau haiwan dalam
menentukan kelangsungan hidup secara wajar sebagai makhluk di jagat raya ini.
Persoalan pendatang dar seberang, kehidupan miskin di kalangan pekerja estet, persoalan cinta keluarga, pembuangan anak dan bisnes ditemukan dalam cerpen “Perempuan dari Jawa”, “Kasih Ambujem”, “Sewangi Bunga Tanjung”, “Kala Senja Kala” dan “Membina Piramid”.
Demikian
Saroja Theavy pada menyatakan sikap, pendirian, pandangan dan tafsirannya
terhadap kehidupan melalui serangkaian cerpennya sebagai suatu kritikan sosial.
Dalam banyak hal, pengarang ini syakin diri dengan lontaran ideanya dan terus
memantapkan diri dalam ujana pencerpenan.
Uthaya Sankar SB
Meneliti
karya-karya cerpen Uthaya Sankar SB, terutamanya melalui kumpulan cerpen Siru
Kambam dan Sasterawan Pulau Cinta,
menyerlah pula pengucapannya yang agak berlainan dari sisi bentuk naratifnya.
Jika di tangan Saroja Theavy tetap akur dan yakin diri dengan pengucapannya yang
konvensional, namun tidak demikian halnya dengan Uthaya Sankar SB.
Kumpulan
cerpen Siru Kambam jelas menampakkan Uthaya Sankar SB akur dengan
bentuk konvensional dalam menghantar pelbagai fenomena kehidupan masyarakat:
tidak terkecuali masyarakat etnik India dan reaksinya dengan etnik Melayu-Cina;
di samping menyisipkan beberapa eksperimen dalam karya terawalnya.
Cerpen
“Orang Pulau” memaparkan perselisihan/pergaduhan antara orang Melayu dan
Cina di Pulau Pangkor, berpunca daripada pergaduhan budak-budak yang merebak
hingga ke kalangan orang dewasa. Walhal, generasi muda yang diwakili Hussein dan
Ah Chee tidak bermusuhan seperti generasi tua hingga sampai berbunuhan dan
mencetuskan suasana buruk mengerikan.
“Persaudaraan
Banyan” merupakan cerpen terpanjang dalam kumpulan Siru Kambam
dan mengemukakan sebuah cerita yang menarik berbaur misteri tentang “Aku” (Ris/Balakrishna)
dalam perjalanan ke London untuk belajar dan sempat bertemu dengan Sree dalam
bas ekspress lalu mengingatkan kisah-kisah lama bersama “Aku” dan Han/Khandan
semasa tinggal di kawasan yang sama.
“Siru Kambatil” dan “Nayagi” pernah memenangi Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1992. Cerpen terawal menampilkan insan yang tidak mengaku kewujudan Tuhan dan akhirnya menerima pembalasan yang penuh misteri.
Sementara
cerpen kedua iaitu “Nayagi” mengemukakan perjuangan gadis India yang
berusaha memperjuangkan hak memilih dan kebebasan diri dan upaya menentukan
pasangan hidupnya. Madhavi, gadis itu, bukan sahaja harus berhadapan dengan
orang tuanya – emak dan nenek – yang memaksanya menerima pak ciknya sebegai
suami, tetapi secara tidak langsung, dia berkonflik dengan adat yang wujud dalam
sistem masyarakatnya.
Kisah
penyiasatan terhadap kehilangan berhala emas Kaali Devi yang melibatkan
terancamnya kehidupan pasangan kembar Raja-Ramani terungkap dalam cerpen “Pancayat”.
Raja dituduh mencuri oleh empat orang kampung yang berkepentingan. Sejak itulah
adiknya, Ramani melakukan penyiasatan. Dan pada akhirnya terbongkarlah rahsia
Sitambaram dan kuncu-kuncunya yang punya angkara.
Cerpen
“Vis-à-vis” memaparkan monolog dalaman seorang insan dan terlaksana di
lokasi vakum yang membincangkan tentang pendirian, sikap manusia menghadapi
kehidupan ini. Cerpen “Kakak, Tolonglah Saya!” mengangkat cerita “Aku’
cuba menyelamatkan Ameena, gadis India yang diculik dan dipaksa kahwin dengan
seorang Arab tua. Cerpen ini mengangkat bahan realiti yang pernah berlaku di
India.
Menerusi
cerpennya “Bitara Sita” dan “Menyimpang”, pengarang mengemukakan
watak-watak Rama, Sita dan Ravana yang terdapat dalam epik Ramayana
lalu diberikan makna dan tafsiran baru dalam konteks kini. Demikian juga cerpen “Krishna:
Potret Diri” yang mengangkat kisah Krishna yang menjadi daya tarikan wanita
hasil daripada eksploitasi Raja Iblis, lalu hanyut berada dalam kemabukan rasa;
akhirnya jiwanya sedar dan insaf lalu ingin menjadi Krishna yang asli murni.
Tiga buah cerpen Uthaya Sankar SB yang menenangi hadiah saguhati dalam Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1993/94 adalah “Wanita”, “Doa Tahun Baru” dan “Sebuah Cerita Biasa”. Secara berurutan dan kebetulan pula ketiga-tiga cerpen ini menampilkan ragi kehidupan keluarga India yang menganut agama Hindu.
Cerpen
“Wanita” merupakan sindiran humor terhadap kecenderungan wanita kaum India
menukar nama sendiri kepada nama suami apabila berkahwin, sebagai satu upaya
menonjol gengsi walaupun ia memperlihatkan suatu perjuangan yang terlalu
bergantung pada lelaki.
Cerpen
“Doa Tahun Baru” adalah kisah keharmonian hidup dalam keluarga Amma-Appa
bersama-sama dua anak kembar mereka, Ragu-Rama. Sementara cerpen “Sebuah
Cerita Biasa” sesungguhnya merupakan kisah biasa seorang isteri, Yasoda, yang
tidak menyenangi mertuanya, Kannama, dan adik iparnya, Karpagam yang tinggal
serumah dengannya. Cerita tentang fitnah mencuri ini dikemukakan melalui sudut
penceritaan seekor burung nuri.
Tiga buah cerpen yang lain mengemukakan tentang kejayaan penulis dalam jagat penulisan yang diceburinya dan berhasil menerbitkan karyanya dalam tiga bahasa menerusi cerpen “Sang Penulis”.
Cerpen “Impian Syarif” pula membincangkan kisah watak yang berminat dengan persoalan agama Islam. Watak bukan Islam itu memberikan ideanya tentang cara bagaimana yang wajar dilakukan agar orang bukan Islam lebih tertarik pada Islam.
Dan
cerpen “Mengubah Teks” merupakan cerpen intertekstual
yang menampilkan percubaan pengarang menampilkan watak “Aku” yang berhadapan
dengan watak-watak dan teks yang lain seperti watak Sinappapal dalam novel Sinappapal
karya Azizi Hj Abdullah, watak Hanuman dalam teks Hanuman:
Potret Diri dan beberapa watak yang lain lagi. Pada cerpen ini ada
usaha pengarang untuk memanfaatkan interteks melalui karyanya.
Terdapat
beberapa aspek yang menarik dalam Siru Kambam.
Pertama,
wujudnya kecenderungan pengarang menampilkan latar khusus Siru Kambam iaitu
sebuah daerah/kawasan berhampiran Taiping, Perak yang
menggambarkan secara dominan kehidupan masyarakat India dan hubungan mereka
dengan masyarakat majmuk.
Kedua,
justeru itu, terserlah warna lokal dalam karya-karya cerpen pengarang ini. Dan
ini amat signifikan bagi khalayak untuk mengetahui ragi kehidupan masyarakat
India di Malaysia.
Ketiga,
pengarang menampilkan cerita atau pengolahan ceritanya dalam dua kaedah iaitu;
pertama, secara konvensional seperti terungkap dalam cerpen “Wanita”,
“Orang Pulau”, “Doa Tahun Baru” dan “Kakak, Tolonglah Saya!” Kedua,
terserlah pula beberapa percubaan atau eksperimen pengarang dalam teknik dan
kecenderungan ke arah parodi melalui cerpen-cerpen “Sang Penulis”,
“Mengubah Teks”, “Menyimpang” dan “Vis-à-vis”.
Keempat,
pada kesemua cerpen dalam kumpulan Siru Kambam memperlihatkan
ketrampilan pengarang muda ini menguasai mekanisme penulisan dengan baik dan ia
diperteguhkan pula dengan bahasa dan gaya bahasa yang menarik. Ini merupakan
petanda positif pada pengarang muda ini.
Uthaya
Sankar SB merupakan cerpenis yang tegas (keras?) dan
berani pada menyatakan sikap dan pendirian dalam menghasilkan karya
kreatif. Justeru, dia amat menyanjung tinggi kelompok audiens
yang bermentaliti tinggi dan menghargai karya bijak berbanding kelompok
bermentaliti rendah yang senang dengan karya bodoh, mengutamakan hiburan dan
separa porno. Ini dinyatakannya dalam artikel berjudul “Genius
dan Maru Malarchi” yang turut menjadi prakata kumpulan cerpen Sasterawan
Pulau Cinta.
Perubahan sikap ini jelas memperlihatkan semacam protes Uthaya Sankar SB yang sekaligus berhasrat untuk menyedarkan audiens sastera Bahasa Malaysia tentang kehadiran dan komitmennya dalam ujana kesusasteraan Malaysia. Cerpen-cerpennya dalam kumpulan Sasterawan Pulau Cinta memang mencetuskan idea-idea yang aneh-aneh, tepu dengan hal-hal yang tidak rasional sebagai suatu kaedah bagi pengarang mengkritik kehidupan di seputarnya.
Hal
ini terpancar melalui cerpen “SB” yang memaparkan protagonis “Saya”
dikatakan belum sempurna hidupnya walaupun sudah beristeri dan diminta oleh
bosnya segera ke pejabat untuk menyelesaikan hubungan bos dengan GRO. Protagonis
berjaya menyelesaikan masalah itu, diberikan ganjaran setimpal walaupun lehernya
ada tanda gigitan dan “Saya” menjadi lebih sempurna dalam konteks mengenali
wanita.
Cerpen
“… dan” menyatakan kesediaan watak ibu menerima kembali anak perempuannya
yang kahwin lari dengan lelaki Melayu-Islam tetapi kemudian menceraikannya.
Mereka berpisah justeru suami “Aku” adalah lelaki pemarah, tipis agama dan
berperangai memalukan. Bagaimanapun watak “Aku” sedar justeru Islamnya juga
pada nama, tipis-cair dan yakin telah mencemarkan kesucian Islam. “Aku”
terasa bersalah, berdosa dan berusaha mahu menjadi Islam tulen. Dan pengarang
memberikan hak dan kebebasan “Aku” berada dalam Islam dengan restu ibunya.
Kepura-puraan,
penipuan adalah bahagian daripada kehidupan yang kadangkala datang dan pergi
sebagai diaturkan. Dengan memanfaatkan medium teater, protagonis “Dia”
diperalatkan memainkan peran-peran yang tidak penting seperti mangkuk, tembok
dan piring tanpa sebarang dialog. Pada suatu ketika “Dia” diberikan watak
pentingsebagai Paul Lathic, tokoh terkenal Pulau Cinta, politisen dan presiden
Pulau Cinta. Kiranya watak itu juga tanpa perlukan skrip kerana jasadnya Cuma
terbaring di pentas sebagai mayat Paul Lathic.
Hal
yang hampir sama ditemukan juga dalam cerpen “Liar” yang membicarakan
tentang peri pentignya bohong, tipu dan pura-pura bagi kelangsungan hidup ini.
Dan watak “Saya” sebagai peguam juga banyak melakukan kebohongan terhadap
pelanggan dan anak sendiri.
Pada
cerpen “Karma II” dan “Datuk Datang ke Kampung Kami” pula memaparkan
hal-hal yang senada yang boleh menimbulkan kerancuan di kalangan individu dan
atau komuniti tertentu.masing-masing watak ditampilkan berusaha menyatakan
sesuatu yang diyakini benar tetapi sebenarnya adalah tidak benar dan beraroma
penipuan dan atau pembohongan.
Sesungguhnya
melalui cerpen-cerpennya yang lain seperti “Sasterawan Pulau Cinta”, “O”
dan “Yang Aneh-aneh” memperlihatkan ketelitian pengarang muda ini mengkritik
segelintir bijak pandai yang berada dalam bidang tertentu dan mendedahkan nasib
dan hari depan golongan tertentu yang semakin terhakis kepentingannya akibat
daripada transformasi drastik, tidak terkecuali kaitannya dengan kemajuan dalam
bidang ITC yang merempuh deras pantas dalam masyarakat.
Cerpen-cerpen
Uthaya Sankar SB yang lain seperti “Cat”, “Anjing”, “Bitara Rama”
dan “Diwali” adalah kritikan-kritikan sosial yang dihantar secara eksperimen
melalui wacana yang sengaja dirancukan bagi memungkinkan tercetusnya
sindiran-sindiran tajam menusuk ke jantung dan pemikiran audiens yang mahu
berfikir dan menafsir secara serius serta bijaksana.
Dari
penelitian ini, dapat dikesan betapa dua cerpenis generasi baru yang muncul pada
akhir abad ke-20 dari kalangan kaum India ini merupakan pengarang yang wajar
diberikan perhatian dengan komitmen mereka yang berterusan mengisi ujana
percerpenan Malaysia. Kehadiran mereka ternyata menyerlah dan dalam kasus
tertentu, terutama dari sisi isi dan teknik penceritaan, mereka memperlihatkan
bakat kepengarangan yang baik dan menarik berbanding dengan beberapa pengarang
yang seangkatan dengan mereka. Hal ini diyakini justeru mereka memasuki ujana
pencerpenan ini dengan tepu rasa tanggungjawab dalam usaha ingin mengangkat
martabat cerpen (=sastera) ke tingkat yang sewajarnya dan dihargai justeru
muatannya yang bijak dan matang serta mencabar minda dalam usaha dan upaya
menafsiri makna kehidupan yang direntasi setiap watak begitu berhadapan dengan
isu, kasus dan fenomena masing-masing.
Kertas kerja ini dibentangkan oleh Dr Othman Puteh sempena Kolokium Kesusasteraan Melayu Moden V anjuran Bahagian Kesusasteraan Moden, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 8-10 Mei 2001 di Port Dickson, Negeri Sembilan.