Mengapa Saya Menulis

Karya Bahasa Malaysia?

   

     

Tidak akan tercapai kebaikan

sekiranya tidak ada sesiapa

yang berani mengetengahkan

kebenaran

– Mahatma Gandhi

   

Sebenarnya penjelasan mengenai mengapa saya menulis karya kreatif sudah banyak kali saya sentuh semasa sesi pertemuan seumpama ini, dalam bengkel penulisan yang saya kendalikan bersama rakan-rakan serta semasa diwawancara wartawan akhbar dan majalah. Malah juga dalam bahagian prakata kumpulan cerpen Siru Kambam dan Surat Dari Madras. Selain itu, saya juga pernah mengendalikan ruangan “Proses Kreatif” dalam majalah Dakwah pada 1996-1997 serta menjadi kolumnis sastera di Mingguan Wawasan pada Mac-Julai 1998 di mana saya turut menyentuh topik yang sama.

Saudara boleh membaca kesemuanya dengan melayari laman web www.oocities.org/uthayasb2001 yang mengumpulkan pelbagai bahan berkaitan bidang penulisan, sastera dan budaya serta isu-isu berkaitan penulis kaum India di Malaysia.

Apabila saya mendedahkan mengapa sebenarnya saya menulis karya kreatif, pendedahan saya pasti tidak lari daripada membuatkan sesetengah pihak terkilan, marah dan membenci saya. (Semua ini sudah banyak kali ditulis orang di akhbar dan majalah; serta telah saya kumpulkan di laman web saya untuk tatapan seluruh warga dunia.) Namun, apa yang saya dedahkan di sini adalah kebenaran dan tidak ada alasan mengapa saya harus menyembunyikannya; apatah lagi apabila saya memang diminta menceritakan mengapa saya menulis karya kreatif.

Ada beberapa perkara asas yang merangsang saya untuk menulis karya kreatif. Saya tidak ingat kesemuanya. Dan saya juga tidak dapat memastikan mana yang datang dulu dan mana yang datang kemudian. Berikut sebahagian daripadanya; secara tidak kronologi:

 

Satu, minat membaca karya sastera Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris sejak kecil.

Dua, mual membaca karya yang tidak mencabar minda.

Tiga, kesedaran bahawa terdapat 1008 tema dan teknik yang sering diabaikan penulis karya konvensional dan klise.

Empat, menyediakan bahan bacaan bagi khalayak yang dahagakan karya intelek.

Lima, cinta terhadap Bahasa Malaysia.

Enam, mengisi kekurangan penulis kaum India dalam sastera Bahasa Malaysia.

Tujuh, kesedaran terhadap bakat yang dianugerahkan Tuhan.

Lapan, ingin melakukan reformasi minda jangka panjang di kalangan masyarakat India di Malaysia.

Sembilan, menggambarkan citra sosio-politik-budaya-agama masyarakat India di Malaya/Malaysia.

Sepuluh, menyajikan bahan bacaan berkualiti berdasarkan pemikiran dan world-view kaum India dalam Bahasa Malaysia.

Sebelas, saya memang berminat untuk bercerita.

Dua belas, menginterpretasi karya klasik India seperti Mahabharata dan Ramayana serta karya purana lain.

Tiga belas, mengolah semula secara bebas cerita rakyat India dalam Bahasa Malaysia untuk tatapan generasi muda.

Empat belas, kesedaran bahawa saya hanya memerlukan [sekurang-kurangnya] sepuluh pembaca berotak untuk membolehkan saya terus berkarya.

Lima belas, menyumbang ke arah usaha persefahaman, toleransi dan saling menghormati antara kaum dan agama. Misalnya menyedarkan golongan bukan beragama Hindu bahawa penganut agama Hindu tidak makan daging lembu.

Enam belas, membuka ruang kepada golongan yang memang menunggu masa dan peluang untuk mengkritik saya dan karya saya di akhbar dan majalah.

Tujuh belas, sebab-sebab lain.

  

Bagimanapun, pada kali ini, saya akan menyentuh mengenai satu daripadanya sahaja. Iaitu cinta saya terhadap Bahasa Malaysia. Memang Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu. Tetapi hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa di bawah Dasar Pelajaran Kebangsaan 1970, istilah “Bahasa Malaysia” diperkenalkan; iaitu berikutan pengajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969. Antara tujuannya adalah melahirkan rakyat Malaysia yang berjiwa Malaysia dan mencintai bahasa kebangsaan yakni bahasa rasmi negara ini.

Nah! Saya adalah salah seorang insan yang berasa bangga untuk mengisytiharkan bahawa saya menyintai Bahasa Malaysia. Dan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan ini menjadi salah satu faktor utama yang secara langsung dan secara tidak langsung merangsang penglibatan saya dalam penulisan karya kreatif Bahasa Malaysia.

Walaupun saya berketurunan Malayalam serta mampu bercakap Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil, saya tetap berbangga dengan penguasaan Bahasa Malaysia yang saya miliki. Bukan megah diri atau menyombong, tetapi berbangga. Pada masa yang sama, saya juga sedar akan hak saya yang dilindungi di bawah Perkara 152 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Usah bertanya apa yang saya banggakan dengan istilah “Bahasa Malaysia”. Saya tidak mampu memberikan penjelasan. Apa yang pasti, saya menyintai Bahasa Malaysia. Panggillah ia “Bahasa Nasional”, “Bahasa Rasmi” atau “Bahasa Kebangsaan” tetapi ia tetap “Bahasa Malaysia” bagi saya.

Bagi saudara yang pernah membaca karya-karya saya, saudara sendiri dapat memutuskan tahap penguasaan dan kecintaan saya terhadap bahasa kebangsaan. Jadi, biarlah saya menjawab pertanyaan “Mengapa anda menulis?” dengan kata-kata “Saya menulis karya kreatif Bahasa Malaysia kerana kecintaan saya terhadap Bahasa Malaysia”.

Namun, pengalaman telah membuktikan bahawa cinta saya terhadap Bahasa Malaysia membuatkan pihak tertentu cemburu dan iri hati. Lalu cinta kami dilarang. Kononnya istilah “Bahasa Malaysia” tidak wujud dan saya tidak boleh menyebut istilah itu; apatah lagi menulis istilah itu.

Wah! Seperti kisah cinta dalam karya sastera dan filem.

Demi membuktikan bahawa saya berada di pihak yang benar dan untuk membuktikan bahawa cinta saya terhadap Bahasa Malaysia tetap tidak luntur, saya mengambil keputusan drastik pada tahun 1999. Saya lebih rela mati di hujung pedang daripada mati kena tendang. Saya memutuskan untuk tidak mengirim karya saya kepada mana-mana penerbit yang tidak memperakukan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”.

Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa saya berhenti menulis. Tidak. Cuma, saya memastikan bahawa karya saya tidak menjadi ‘mangsa’ di tangan pihak yang membenci istilah “Bahasa Malaysia”; pihak yang nampaknya tidak mengetahui sejarah dan perkembangan Bahasa Malaysia dan Bangsa Malaysia.

Perjuangan saya bagi menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” masih menjadi suatu enigma. Seorang editor yang menangani manuskrip berkenaan menukar istilah “Bahasa Malaysia” yang saya gunakan dalam manuskrip sebuah antologi cerpen penulis kaum India dengan alasan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” tidak betul, tidak sahih, tidak wujud dan tidak boleh digunakan. Namun saya tetap mendesak supaya istilah “Bahasa Malaysia” yang saya gunakan dalam manuskrip berkenaan dikekalkan.

Isu berkenaan telah beberapa kali dipaparkan di akhbar. Pada Oktober 1999, Menteri Pendidikan membuat kenyataan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” sah digunakan dalam segala urusan. Namun, pihak terbabit masih menekankan bahawa cinta saya – yakni istilah “Bahasa Malaysia” – tetap tidak wujud dan tetap tidak boleh digunakan. Mungkin sekadar untuk menyembunyikan rasa malu mereka. Penerbitan antologi berkenaan dibatalkan tanpa alasan.

Ah! Persetankan. Saya tidak rugi apa-apa kerana saya telah membuktikan bahawa istilah “Bahasa Malaysia” telah mula digunakan sejak tahun 1970 dan masih sah digunakan. Tanyalah pada Perdana Menteri kalau masih musykil.

Malah, jika saudara melayari laman web saya, saudara boleh melihat/membaca sendiri bagaimana Bahasa Malaysia diberi keutamaan. Memang terdapat rencana menggunakan Bahasa Inggeris tetapi Bahasa Malaysia masih dominan.

Bercakap mengenai tulisan dalam Bahasa Inggeris pula, perlu saya akui bahawa media Bahasa Inggeris di Malaysia lebih menyedari kewujudan dan kesahihan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia”. Saya kini lebih tenang mengirim tulisan Bahasa Inggeris ke akhbar New Straits Times. Apa yang menarik, saya berhak menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila saya menulis artikel Bahasa Inggeris bagi akhbar berkenaan. Misalnya: Thus ends a Bahasa Malaysia short story by one of the participants in my creative writing workshop. Malah akhbar Bahasa Inggeris itu juga memperakukan bahawa Uthaya Sankar SB is a Bahasa Malaysia creative writer.

Kejahilan pihak tertentu terhadap kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” tetap tidak menghalang – apatah lagi mematahkan semangat juang – saya untuk terus menggunakannya. Saya terus menulis karya Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris; selain menterjemah karya saya ke Bahasa Tamil. Cuma, saya pastikan bahawa saya tidak “melacurkan” karya saya dengan mengirim kepada mana-mana pihak yang tidak memperakukan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”; pihak yang cuba menyembunyikan hakikat dan sejarah.

Malah, awal tahun 2001, saya telah menerbitkan sendiri kumpulan cerpen berjudul Sasterawan Pulau Cinta. Saya terbit dan jual sendiri buku itu. Memang tidak untung besar tetapi memuaskan. Saya boleh terus bercinta dengan Bahasa Malaysia. Saya dedikasikan Sasterawan Pulau Cinta kepada Bahasa Malaysia.

Saya turut mengendalikan siri Bengkel Karyawan Muda dengan kerjasama Retna Devi Balan, Raja Rajeswari dan S. G. Prabhawathy sebagai sebahagian aktiviti Persatuan Penulis Kaum India Malaysia (Kavyan). Sambutan yang kami terima cukup memberangsangkan. Generasi muda mengenali Bahasa Malaysia dan mampu menulis karya kreatif Bahasa Malaysia. Mereka turut menyintai “Bahasa Malaysia” dan menerima “Bahasa Malaysia” sepenuh hati.

Akan tetapi, tidak mustahil suatu hari nanti, mereka juga akan dihalang daripada menggunakan istilah “Bahasa Malaysia” apabila merujuk kepada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini; semata-mata kerana ada pihak tertentu yang mengatakan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” adalah salah kerana pihak berkenaan berpendapat istilah itu tidak wujud! Apakah pada waktu itu generasi muda akan terus memperjuangkan penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” atau akur kepada tuntutan pihak tertentu yang anti istilah “Bahasa Malaysia”?

Mungkin perkara ini kelihatan @ kedengaran terlalu kecil bagi sesetengah pihak. Tetapi apabila saudara bercinta sepenuh hati, saudara akan memahami betapa pentingnya Bahasa Malaysia bagi saya. Walaupun saya berfikir dalam Bahasa Inggeris, saya masih fasih dan lancar bercakap Bahasa Malaysia. Bagaimana? Kerana cinta.

Selepas kejayaan Sasterawan Pulau Cinta yang mengumpulkan sepuluh cerpen saya, maka pada Januari 2002 pula bakal terbit sebuah antologi cerpen Bahasa Malaysia karya penulis kaum India. Ia bakal menjadi antologi sulung yang mengumpulkan cerpen Bahasa Malaysia yang dihasilkan sepenuhnya oleh penulis kaum India di Malaysia; menggantikan sebuah antologi sebelum ini yang dibatalkan penerbitannya oleh pihak tertentu semata-mata kerana penggunaan istilah “Bahasa Malaysia” dalam antologi berkenaan. Dibatalkan kerana pihak berkenaan tidak memperakukan kesahihan dan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia”; sebagaimana alasan yang diberikan oleh editor yang mewakili pihak berkenaan.

Cinta boleh dihalang. Tetapi cinta tidak boleh dibunuh. Cinta terhadap Bahasa Malaysia. Bahasa Jiwa Bangsa. Bahasa Malaysia, Bangsa Malaysia; meminjam judul puisi Retna Devi Balan yang dibacakannya di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 3 Ogos 1999 sempena Malam Bahasa Jiwa Bangsa.

Ternyata cinta inilah yang menjadi dasar kepada penglibatan saya dalam penulisan kreatif Bahasa Malaysia. Memang ada beberapa lagi faktor yang telah saya jelaskan pada masa lalu; rujuk www.oocities.org/uthayasb2001 untuk penjelasan lebih lanjut dan terperinci.

Bagaimanapun, sejak pihak tertentu cuba menghalang hak saya menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”, saya semakin sedar bahawa cinta saya terhadap Bahasa Malaysia menjadi satu faktor utama mengapa saya telah, sedang dan akan terus menulis karya Bahasa Malaysia. Malah, seperti yang saya nyatakan sebelum ini, saya juga gembira menulis dalam Bahasa Inggeris kerana saya bebas mempraktikkan hak saya dalam menggunakan istilah “Bahasa Malaysia”.

Jadi, rasa-rasanya tidak keterlaluan dan tidak kedengaran terlalu egoistik atau biadab jika saya menggunakan peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak berkenaan yang menafikan kewujudan istilah “Bahasa Malaysia” serta gagal dalam usaha licik membunuh cinta saya terhadap Bahasa Malaysia; terhadap penulisan karya Bahasa Malaysia. Ucapan “terima kasih” adalah wajar memandangkan tindakan terburu-buru, kurang profesional dan kurang terancang oleh pihak berkenaan hanya menambah lagi cinta saya terhadap Bahasa Malaysia. Itulah hakikat. Itulah kebenaran. Seperti kata Mahatma Gandhi.

 

Proses Kreatif Uthaya Sankar SB

Seminar Kesusasteraan Bandingan Malaysia 2001: Selangor Darul Ehsan

6 Oktober 2001

Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam